Apa Yang Wanita Perlu Tahu Tentang Pewarisan Harta : Wasiat, Hibah, Faraid - MARINA BASHAH

Saturday, March 21, 2020

Apa Yang Wanita Perlu Tahu Tentang Pewarisan Harta : Wasiat, Hibah, Faraid

Apa Yang Wanita Perlu Tahu Tentang Pewarisan Harta? : Wasiat, Hibah, Faraid | Perancangan pewarisan harta adalah penting bagi semua pemilik harta yang masih hidup. Sejujurnya Marina tidak pernah ada lagi pengalaman merancang pewarisan harta. Ilmu pewarisan harta ini penting untuk wanita di luar sana. Ilmu yang amat bermanfaat buat diri Marina juga.

Kena faham ye beza antara pewarisan harta dan pewarisan harta pusaka. Pewarisan harta bermaksud pemilik harta masih hidup manakala pewarisan harta pusaka bermaksud pemilik harta tu telah meninggal dunia.

Kenapa Perancangan Perwarisan Harta Penting?
Kesedaran wanita dalam membuat perancangan pewarisan harta masih lagi rendah. Wanita akan mula sedar mengenai kepentingan perancangan pewarisan harta pusaka apabila berlakunya kematian dalam keluarga, yang menyebabkan mereka hilang tempat bergantung dan pada masa yang sama tidak bekerja tetapi mempunyai tanggungan. Di sinilah kepentingan untuk merancang pewarisan harta.

Tidak ramai wanita yang mengambil berat terhadap perancangan pewarisan. Malahan, terdapat segelintir wanita yang bujang dan berkerjaya langsung tidak pernah terfikir ke mana harta yang dikumpul semasa hayat mereka akan diagihkan apabila meninggal dunia.


Apa Yang Para Isteri Perlu Buat Tentang Perwarisan Harta?
Bunyi macam sedih dan gila harta, tapi sebenarnya perancangan perwarisan harta sangat penting apabila suami, isteri atau diri sendiri meninggal supaya di kemudian hari tidak berlakunya pergaduhan dan bermasam muka di antara ahli keluarga. Banyak dah kes terjadi di kalangan kita, seperti contoh kes balu kepada seorang artis yang hangat diperkatakan tentang isu harta pusaka ini. Bukan sahaja perwarisan harta ini penting untuk para isteri, bahkan wanita yang bujang seperti ibu tunggal atau yang belum berkahwin juga perlu merancang perwarisan harta mereka.

Wanita yang telah berkahwin (Bekerjaya atau surirumah) 
• Memainkan peranan mengingatkan suami secara kerap supaya melaksanakan perancangan pewarisan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh berlaku, terutama membabitkan harta yang ditinggalkan.

• Memberitahu suami untuk melakukannya selagi masih diberikan kesihatan yang baik dan kudrat untuk bergerak ke mana-mana.

• Mengingatkan suami untuk melaksanakan perancangan pewarisan demi kelangsungan hidup bersama anak apabila suami meninggal dunia kelak.

Wanita bujang (Ibu tunggal atau belum berkahwin) 
• Tidak terkecuali membuat perancangan pewarisan supaya harta yang dimiliki dapat dibahagikan dalam bentuk jariah dan selebihnya dibahagikan kepada waris-waris yang berhak.

Tanpa persiapan yang betul ke atas perancangan pewarisan tidak ada jaminan harta yang dikumpul semasa hidup bakal diwarisi dengan mudah, terutama jika seseorang mempunyai anak angkat dan anak tiri yang sememangnya kita berhasrat supaya mereka menikmati manfaat daripada harta pusaka yang ditinggalkan.

Apa yang Diperlukan untuk Buat Pewarisan Harta?
Dalam membuat perancangan pewarisan, perkara yang perlu diketahui oleh wanita adalah dengan memastikan korang dan suami :
• Menyimpan semua geran atau perjanjian yang ada.
• Jika masih ada hutang pembiayaan, pastikan semua resit bayaran, penyata pembiayaan tahunan dan penjanjian pembiayaan disimpan dengan baik.
• Menyimpan cover note atau polisi takaful yang melindungi pembiayaan ke atas harta tak alih. Ia penting supaya baki hutang pembiayaan dapat diselesaikan jika terjadi sebarang musibah.
• Semua dokumen yang berkaitan harta alih perlulah disimpan seperti buku akaun, penyata pelaburan dan polisi.
• Catat nombor telefon broker, remisier, ejen atau syarikat pelaburan dan takaful yang sering dihubungi untuk kemudahan membuat sebarang tuntutan atau urusan.
• Catatkan nombor pin setiap kad ATM yang ada untuk akaun simpanan.
• Kenalpasti semua hutang yang masih ada. Tidak kira hutang dengan Allah seperti zakat, badal haji, fidyah dan kaffarah atau hutang dengan individu atau dengan bank/institusi kewangan. Semua perjanjian pembiayaan, resit bayaran dan penyata pembiayaan perlu disimpan dengan baik.

Sebaik-baiknya, hutang perlu diselesaikan semasa hayat masih ada. Tetapi, jika ajal sudah menjemput, menjadi tanggungjawab waris untuk menyelesaikan hutang yang masih berbaki. Jika menjadi pemiutang (pemberi hutang) dan penjamin, semua dokumen berkaitan juga perlu didokumenkan.

Senaraikan Waris
Selepas mengenalpasti semua harta dan hutang, korang perlu menyenaraikan semua waris yang ada.

Waris-waris yang perlu disenaraikan :
• Anak-anak,
• Isteri,
• Ibu dan bapa.
• Jika sebelum ini pernah berkahwin lain, mempunyai anak dan bercerai, perlulah dikenalpasti anak-anak yang terpisah tersebut.
• Waris-waris yang terputus hubungan perlu dikesan dan dicari

Perlu pastikan juga :
• Dapatkan dan simpan salinan sijil beranak, kad pengenalan, sijil kahwin/nikah dan sijil kematian (jika waris telah meninggal dunia).
• Jika ada perkahwinan yang belum didaftarkan, daftarkan segera.
• Anak-anak yang tidak didaftarkan, pastikan semuanya berdaftar dan mempunyai sijil kelahiran atau kad pengenalan.


Apakah Instrumen Perancangan Perwarisan Harta?
Instrumen-intrumen yang boleh digunakan adalah:

Wasi / Penama / Pentadbir 
Melantik wasi / penama / pentadbir yang akan bertindak untuk mentadbir dan bertanggungjawab untuk menguruskan pembahagian harta pusaka kepada benefisiari dan waris-waris yang berhak selepas kematian nanti.

Hibah
Memindahmilikkan / menghadiahkan harta semasa hidup kepada mana-mana waris atau bukan waris atau mana-mana orang yang disayangi.

Wasiat
Mengikrarkan untuk mewasiatkan harta semasa hidup untuk dibahagikan selepas mati pada kadar 1/3 harta sahaja dan bukan kepada waris. Sekiranya lebih dari 1/3 atau kepada waris, ia tidak akan berkuatkuasa melainkan dipersetujui oleh waris-waris lain nanti.

Amanah
Menyerahkan harta kepada pemegang amanah yang akan bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah dan melindungi harta pusaka anda.

Wakaf
Menginfaqkan harta pusaka yang ditinggalkan sebagai sumbangan untuk kegunaan umum seperti pembinaan masjid. Wakaf berfungsi sebagai kesinambungan amalan selepas kematian. Jumlah harta yang diwakafkan sekiranya selepas kematian adalah tidak melebihi 1/3 daripada nilai kesemua harta bersih yang ditinggalkan.

Faraid
Pembahagian harta pusaka yang ditetapkan oleh hukum syarak. Faraid memastikan pembahagian yang adil dan saksama kepada kesemua waris yang ditinggalkan. Pecahan pembahagian bergantung kepada jenis (anak lelaki, anak perempuan, isteri, ibu, bapa) dan bilangan waris yang masih ada.

Apa yang Perlu Dibuat?

Dapatkan Khidmat dan Nasihat Profesional 
• Selepas membuat draf pewarisan harta dan memilih instrumen-instrumen yang sesuai, draf tadi perlulah didokumenkan supaya menjadi satu dokumen wasiat / hibah / amanah / perwarisan yang sah.
• Untuk menghasilkan dokumen yang sah memerlukan kepada bantuan daripada mereka yang arif dalam bidang pewarisan dan undang-undang.
• Melantik Majlis Agama Islam Selangor sebagai pihak berautoriti untuk bertindak sebagai wasi, pemegang amanah atau pentadbir harta pusaka.

Sediakan peruntukan kewangan
• Apabila memerlukan khidmat profesional untuk menyediakan dokumen-dokumen wasiat / hibah / amanah / perwarisan, sudah semestinya memerlukan kos. Oleh itu, sediakanlah peruntukan kewangan secukupnya.
• Maklumkan perancangan pembahagian kepada waris atau orang yang boleh dipercayai. Langkah ini dilakukan bagi memberitahu waris atau orang yang dipercayai supaya menghubungi wasi, pemegang amanah atau pentadbir yang telah dilantik jika berlaku kematian oleh pemilik harta.


Semoga korang dapat manfaat daripada apa yang Marina kongsi ni. Uruskanlah pewarisan harta korang bermula dari sekarang. Semoga perwarisan harta ini akan memudahkan urusan pada waris-waris harta korang di kemudian hari.

Makluman lanjut,  korang boleh hubungi MAIS sendiri untuk dapatkan clear picture mengenai perwarisan harta ni :

Talian MAIS :
03-55143773 atau 3772

Website MAIS : 

Facebook :

Instagram :

Twitter :
MAISgovmy

16 comments:

  1. Zaman sekarang banyak dah kesedaran tentang hal ni. Jika diingat kembali masa zaman dulu. Ibu yang diceraikan atau suami meninggal. Mereka lepas kan aje apa yang direbutkan. Tak larat nak berbalah. Kemudian terputuslah siratulrahim keluarga si bapa dengan anak-anak. Informasi begini bagus, utk peringatan kita.

    ReplyDelete
  2. Alhamdulilah, bab urusan harta ke wasiat ke terpulang pada mereka yang asrif, tapi bab hibah, alhamdulilah suami Sis dah uruskannya...memang kena fikir semua ni, supaya tak jadi susah pada ahli keluarga yang ditinggalkan..

    ReplyDelete
  3. Satu informasi yang baik untuk dikongsi cuma kita ni sebagai perempuan selalu menyerahkan kepada pihak lelaki khususnya abang atau adik lelaki apabila melibatkan harta pusaka keluarga dan anak lelaki jika libatkan harta suami huhu

    ReplyDelete
  4. Sebenarnya yang patut fikir awal2 secara mendalam pasal ni hubby kita kan.. sepatutnya kena ada timbul kesedaran tentang ni dalam diri mereka sendiri.. sebab kalau isteri yang sebut perkara ni, selalu sangat suami akan fikir ke lain, menganggap isteri tu ada tujuan lain tanya soalan-soalan macam tu.. tapi sebenarnya.. isteri tu mengharapkan tiada perkara perebutan harta berlaku sehingga menyebabkan isteri dan anak-anak hidup terbuang selepas ketiadaan suami/ketua keluarga mereka..

    ReplyDelete
  5. terima kasih sis share ni.. memang zaman sekarang ni wanita kena tahu hak mereka.. alhamdulilah suami za dah alert benda ni.. kami tak lalu dah nk tengok adikberadik berebut harta ni sampaikan yg patut dapat peninggalan arwah terkapai takdapat apa sbb tiada persediaan.

    ReplyDelete
  6. Bagus sharing ni, padat dan lengkap, memang sesuai sgt dijadikan rujukan lagi2 bagi yg memerlukan tu mcm if before ni dia tak pernah amek tau or tak sure certain things about semua ni. Memang kena cakna bab ni untuk memudahkan urusan yg ditinggalkan terutama anak2 nnt kan..

    ReplyDelete
  7. bagus ni untukkita ambil tahu tentang pengagihan harta..ini bagi mengelakkan perebutan dan pergaduhan selepas kematian

    ReplyDelete
  8. This a good valuable information. Thank you for sharing. Have a good day.

    ReplyDelete
  9. Baru baca ni mula nak cari balik dokumen-dokumen lama. Harta takda. Yang ada pun simpanan kwsp. Kena belajar lagi bab2 macam ni. Nanti takla susah kemudian hari.

    ReplyDelete
  10. Pengkongsian yang bagus..ramai dr kita yg masih x faham tentang pengagihan harta, bila berlaku kematian baru kita gelabah kan.

    ReplyDelete
  11. Terima kasih atas perkongsian yang bermanfaat ni.iena pun tak pernah tau :)

    ReplyDelete
  12. Bagus perkongsian sebegini sebab ramai yang ambil mudah berkenaannya. Bila suami isteri ambil mudah, jadi kelam kabut bila ada musibah melanda. Better dapatkan yang pakar jika kita kurang ilmu kan

    ReplyDelete
  13. bagus info ni. zaman sekarang wanita kena tahu semua benda ni, jangan ambik mudah

    ReplyDelete
  14. Bagus sgt sharing marina ni. Lengkap. Boleh buat rujukan buat mereka yg masih belum clear perihal pewarisan harta.

    ReplyDelete
  15. salam kenal.. CT follow sini..

    betul. bab bab ni tolongla wanita sekalian kena ambil tahu hak hak dan kepentingan.
    kalau boleh suami isteri masing2 buatla wasiat xyah tnggu da tua. harta ni mmg ujian sngt. saya yang dah berdepan pengalaman ni tahu peritnyaaa nk dapatkan yang hak walaupun terang2 milik kita. syukur sangat Allah mudahkan semua.

    ReplyDelete
  16. bagus info ni supaya kita celik mata celik hati..

    ReplyDelete