Epidural Semasa Bersalin: Cheat Code ke? | Pengalaman tentang bersalin menggunakan epidural ni Marina dah cerita detail pada tahun 2021 lagi di sini. Disebabkan tengah duk hangat diperkatakan mengenai epidural ni digelar sebagai "Cheat Code" oleh seorang individu ni, Marina bawak keluar cerita pengalaman yang Marina cerita di entri sana bawak ke entri ni untuk fokus cerita tentang pengalaman Marina semasa mengambil epidural di sini.
Ada pro dan contra apabila ambik epidural ni. Marina sendiri masa bersalin dulu, melalui pengalaman yang buat Marina faham kenapa sesetengah orang pilih untuk ambil epidural dan kenapa sesetengah lagi memilih untuk elak.
Awalnya, memang Marina berniat nak alami sendiri rasa sakit bersalin yang sebenar tetapi apakan daya Marina tak mampu. Marina akan cerita kisahnya kenapa Marina decide untuk ambil epidural.
Apa Itu Epidural?
Epidural adalah sejenis pain relief di mana ubat bius disuntik ke ruang epidural di tulang belakang.
Fungsi utama dia adalah untuk mengurangkan rasa sakit dari bahagian pinggang ke bawah. Lepas suntikan, bahagian pinggang ke bawah akan rasa kebas atau kurang rasa sakit.
Dalam kes bersalin, epidural bantu ibu untuk tetap sedar tapi kurang rasa sakit contraction. Boleh fokus untuk meneran bila sampai masanya.
Biasanya prosedur ni dikendalikan oleh pakar bius (anaesthetist). Servis ni biasanya dilakukan semasa waktu pejabat iaitu antara jam 8.00 pagi sehingga jam 5.00 petang waktu Malaysia.
Fungsi Epidural Semasa Bersalin
Di sini Marina kongsikan fungsi epidural bagi yang nak tahu. Fungsi epidural :
• Mengurangkan atau menghilangkan sakit contraction.
• Membantu ibu kekal tenang dan ada tenaga masa nak meneran.
• Memudahkan prosedur kelahiran yang perlukan bantuan seperti forceps atau vakum.
Risiko dan Kesan Sampingan Epidural
Walaupun epidural banyak membantu, ia tetap ada risiko dan kesan jangka panjang. Antara yang biasa berlaku:
• Sakit belakang: Ini memang common. Macam Marina sendiri, sekarang ni bila umur dah makin bertambah, rasa sakit belakang tu mula datang. Mungkin ada kaitan dengan bekas epidural dulu.
• Sakit kepala teruk (post-dural puncture headache): Berlaku bila jarum terkena lapisan dura dalam tulang belakang.
• Tekanan darah menurun: Boleh menyebabkan pening atau loya.
• Masalah kawalan pundi kencing: Sebab saraf untuk rasa buang air boleh terjejas buat sementara.
• Kesan sampingan jarang macam jangkitan atau kecederaan saraf (sangat jarang, tapi tetap ada risiko).
Pengalaman Sendiri Mengambil Suntikan Epidural Semasa Melahirkan Anak
Masa bersalin anak pertama, kandungan Marina overdue. Marina pergi rutin check up biasa di klinik kesihatan. Sepatutnya tarikh yang Marina pergi klinik tu merupakan tarikh bersalin, tetapi pada hari tu masih tiada tanda-tanda hendak bersalin, takde rasa sakit nak bersalin. Selepas check up, nurse di situ bagitahu, kita tunggu another ten days, if masih takde rasa sakit, then Marina kena admit di hospital dan perlu dipaksa bersalin (induce).
Selepas hari yang kesepuluh, masih tiada tanda-tanda hendak bersalin, Marina ditahan di hospital. Pada keesokan harinya, Marina perlu menjalani prosedur induce. Ubat induce dimasukkan, setelah enam jam menunggu, laluan masih tidak terbuka. Esoknya, prosedur yang sama dijalankan. Bayangkanlah, 6 jam Marina kena baring sahaja dan tak boleh bergerak supaya bacaan CTG tak lari. Lenguh weiii.
Berbalik pasal mengambil epidural. Selepas kali kedua di induce, kali kedua ni doktor bagi dos yang kuat sedikit. Masa tu lah sakitnya hanya Allah s.w.t je yang tahu. Awalnya doktor ada offer ambil epidural sebab hanya doktor pakar sahaja yang boleh buat prosedurnya dan dilakukan hanya pada waktu pejabat. Tapi Marina taknak. Selagi boleh bertahan, Marina nak tahan. Tapi bayangkanlah lagi 4-5 jam nak menunggu prosedur induce tu tamat tapi dalam masa yang sama contraction seminit sekali, Marina surrender.
Masa dalam keadaan sakit, Marina call arwah mama untuk tanya pendapat dia.
Kalau kamu ambil epidural, dia cucuk antara tulang belakang dan risikonya kamu boleh lumpuh, itulah yang arwah mama bagitahu.
Doktor pon dah beritahu siap risikonya dan pesakit perlu tandatangan dokumen persetujuan untuk cucuk epidural. Oleh sebab memang dah tak tahan sangat, Marina bersetuju dan beritahu doktor di situ, Marina nak epidural. Masa tu Marina dah tak fikir dah risiko dan kesan yang Marina kena tanggung, selepas cucuk epidural tu nanti. Doktor beritahu, nasib baik kamu beritahu cepat sebelum tamat waktu pejabat, kalau tak kamu tak dapat nak ambil epidural.
Sebelum dicucuk, Marina dibius dulu di belakang badan. Semasa hendak cucuk, kena duduk tegak dan tak boleh bergerak sebab nak cucuk epidural pada saraf yang terletak antara tulang belakang agak mencabar. Itu apa yang diberitahu pada Marina lah.
Alhamdulillah cucuk epidural berjaya dan Marina takde rasa contraction selepas itu. Masa nak push baby pon nurse yang suruh push sebab Marina dah tak rasa sakit apa-apa.
Apa yang dinasihatkan oleh doktor, Marina tak boleh buat kerja-kerja berat dan angkat barang berat. Pada awalnya memang terasa lenguh sikitlah di bahagian pinggang, dah lama tu kurang dah sakit pinggang. Cumanya kalau berdiri lama seperti basuh pinggan, akan terasa lenguh. Nak dijadikan cerita, sekarang ni, di belakang badan ni dah terasa sakit-sakit. Mungkin sebab faktor umur dan kesan daripada epidural yang Marina ambil 13 tahun yang lepas.
Tips Ambil Epidural
Pada korang yang ada plan nak ambil epidural semasa bersalin nanti, di sini ada beberapa tips :
• Tanya hospital awal-awal pasal availability epidural. (Macam Marina dulu, doktor inform pakar bius cuma ada masa office hour je.)
• Kena tahu dan faham risiko dan manfaat sebelum buat keputusan.
• Ikut keperluan badan korang dan bukan tekanan daripada orang sekeliling.
Ingat, tiada satu cara bersalin yang lebih mulia dari yang lain. Tak kisahlah sama ada bersalin secara natural, epidural atau C-section yang mana ketiga-tiga ni Marina pernah lalui, semua ibu adalah pejuang.
Jadi, Perlu Ke Ambil Epidural?
Jawapan dia terpulang pada situasi dan pilihan masing-masing.
Kalau korang mampu hadap sakit contraction tanpa epidural, bagus sangat.
Kalau korang perlukan bantuan untuk kurangkan kesakitan dan simpan tenaga untuk push nanti, ambil je epidural. Tak perlu rasa bersalah.
Setiap orang ada perjalanan bersalin yang unik. Apa yang paling penting, korang dan baby sihat dan selamat.
0 Comments