Sekolahku Berbakat 3.0 di Ipoh Parade: Citrawarna Tarian Melayu Pukau Pengunjung | Pada hari Ahad 29 April 2025 yang lepas, Marina ke Ipoh Parade bawa anak-anak tengok pertandingan menari. Sampai je di ruang legar pusat beli-belah Ipoh Parade, suasana sangat meriah dan dipenuhi dengan warna-warni pakaian penari di acara Sekolahku Berbakat 3.0 – Edisi Citrawarna Tarian Melayu berlangsung dengan penuh meriah dan semangat kebudayaan ni. Acara ini bermula jam 2.00 petang.
Acara Sekolahku Berbakat 3.0 – Edisi Citrawarna Tarian Melayu ini dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN) dengan kerjasama Ipoh Parade. Program ini bukan sekadar pertandingan, malahan juga memperkenalkan seni budaya tradisional. Penyertaan penuh semangat daripada pelajar sekolah menengah dan rendah seluruh negeri akan dapat disaksikan di sini, yang mempersembahkan kemahiran mereka dalam tarian tradisional Melayu dan pertandingan dinamik Tarian Pencak.
Sekolah anak Marina merupakan salah satu sekolah yang bertanding di acara Sekolahku Berbakat 3.0 – Edisi Citrawarna Tarian Melayu ini. Beberapa hari sebelum pertandingan, anak Marina ada memaklumkan yang cikgu sekolah diorang ajak datang untuk sama-sama memberi sokongan kepada penari sekolah diorang.
Warna-warni Tradisi dalam Gaya Moden
Pengunjung yang hadir bukan sahaja dihiburkan dengan persembahan tarian, malah berpeluang menikmati suasana kebudayaan dengan alunan muzik tradisional, pakaian yang berwarna-warni dan persembahan yang memukau, yang menyerlahkan kekayaan warisan budaya Malaysia. Gabungan kreativiti generasi muda dengan elemen tradisi ini menjadikan suasana acara sangat meriah dan mengujakan.
Apa yang menarik minat Marina di acara di sini adalah kategori Battle Tarian Tradisional Melayu, di mana setiap pasukan perlu menggabungkan elemen tarian tradisional seperti Inang atau Joget secara spontan mengikut muzik yang dimainkan secara rawak. Cabaran ini benar-benar menguji bukan sahaja teknik, tetapi juga kesinambungan di antara peserta di dalam sesebuah kumpulan.
Memahami rentak dalam hati adalah kunci untuk menang dalam tarian kategori ‘battle’, kata Yusri Zabidi, jurulatih tarian dari SMK Kampong Perak, yang mengetuai pasukannya menewaskan lapan lagi pasukan sekolah lain dalam Pertandingan Battle Tarian Tradisional Melayu.
Dengan hanya sebulan latihan berdisiplin, pasukan yang terdiri daripada lima penari ini sahaja berjaya memikat hati penonton dan juri dengan gerakan tarian yang seragam dan mengikut rentak muzik tradisional yang dimainkan secara rawak.
Walaupun berdepan dengan saingan hebat, terutamanya dari SMK Raja Perempuan Ipoh,
persembahan penuh anggun dan berwibawa pasukan SMK Kampong Perak yang menggabungkan gerakan asas Inang dan Joget telah menjadikan mereka johan.
Bukan setakat itu sahaja, SMK Kampong Perak juga turut memenangi tempat ketiga dalam kategori Tarian Pencak dan anugerah khas Koreografi Paling Kreatif.
Keputusan Pemenang Sekolahku Berbakat 3.0
Berikut adalah senarai pemenang penuh untuk kedua-dua kategori utama:
Pertandingan Tarian Pencak
- Johan: SMK Raja Perempuan Ipoh (RM1,500 tunai)
- Naib Johan: SK Seberang Perak (RM1,000 tunai)
- Tempat Ketiga: SMK Kampong Perak (RM500 tunai)
- Tempat Keempat: SMK Bagan Serai (RM200 tunai)
- Tempat Kelima: SK Convent Teluk Intan (RM200 tunai)
Pertandingan Battle Tarian Tradisional Melayu
- Johan: SMK Kampong Perak (RM1,000 tunai)
- Naib Johan: SMK Raja Perempuan Ipoh (RM500 tunai)
- Tempat Ketiga: SMK Bagan Serai (RM300 tunai)
- Tempat Keempat: SMK Sri Kota (RM150 tunai)
- Tempat Kelima: SMK Tarcisian Convent (RM150 tunai)
Anugerah Khas
- Persembahan Terbaik: SMK Raja Perempuan Ipoh
- Gerakan Pencak Terbaik: SK Ngah Ibrahim
- Koreografi Paling Kreatif: SMK Kampong Perak
- Persembahan Paling Bertenaga: SK Seberang Perak
Seni Tradisional yang Diangkat Semula
Acara ini berjaya memperkenalkan tarian Pencak, iaitu tarian tradisional Minangkabau yang menggabungkan seni silat dengan muzik tradisional, serta mencapai matlamatnya dalam mempromosikan seni tradisional dalam kalangan generasi muda dan mengukuhkan peranan penting
warisan budaya dalam menyatukan komuniti.
Tetamu kehormat, Timbalan Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Puan Hajah Fadhilah binti Hawary, merakamkan penghargaan kepada para ibu bapa atas sokongan padu mereka terhadap pembelajaran seni tari tradisional oleh anak-anak mereka dan menggalakkan murid-murid agar terus mengekalkan semangat pembelajaran tersebut.
Kami berasa amat bangga menyaksikan dedikasi dan bakat luar biasa daripada para peserta muda, kata Lim Huey Tyng, Pengurus Jabatan Pengiklanan dan Promosi Ipoh Parade.
Semangat mereka terhadap warisan budaya kita, disertai dengan kreativiti belia, menjadikan acara ini satu pengalaman yang benar-benar tidak dapat dilupakan, katanya lagi.
Komuniti Bersatu dalam Budaya
Pihak pengurusan Ipoh Parade merakamkan setinggi penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN) atas sokongan tidak yang tidak terhingga kepada semua sekolah yang mengambil bahagian, serta semua keluarga dan penaja yang bersama-sama menjayakan acara ini.
Pihak pengurusan Ipoh Parade juga berharap dapat meneruskan tradisi ini dan menyediakan lebih banyak platform untuk bakat muda menyerlah bakat mereka pada masa akan datang.
Warisan yang Terus Hidup
Acara Sekolahku Berbakat 3.0 – Edisi Citrawarna Tarian Melayu bukan sahaja membuktikan bahawa tarian tradisional masih hidup, malah berjaya membina jambatan antara generasi. Warisan budaya bukanlah untuk diceritakan hanya di dalam buku sejarah, ia juga lebih bagus untuk diraikan, dipersembahkan dan dihargai bersama-sama. Apabila bawa anak-anak Marina ke sini, diorang dapat mengenal tarian melayu.
Pihak pengurusan Ipoh Parade berharap tradisi ini dapat diteruskan pada masa depan – lebih besar, lebih berwarna dan tersemat di dalam hati generasi muda masyarakat Malaysia. Acara seperti ini seharusnya dikekalkan supaya tarian tradisional melayu ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas dan supaya generasi akan datang masih dapat menyaksikan tarian tradisi melayu ini pada masa akan datang.
0 Comments