Pertandingan "Sekolahku Berbakat" Mempamerkan Bakat Luar Biasa Di Kalangan Pelajar Perak

Pertandingan "Sekolahku Berbakat" Mempamerkan Bakat Luar Biasa Di Kalangan Pelajar Perak | Pada 4 dan 5 November 2023 yang lalu, pertandingan "Sekolahku Berbakat" menampilkan bakat pelajar muda di seluruh Perak telah diadakan di pusat membeli-belah yang namanya tidak asing lagi di Ipoh iaitu Ipoh Parade. Sebanyak 53 buah pasukan yang terdiri daripada sekolah rendah dan menengah telah mengambil bahagian, tidak terkecuali pelajar daripada sekolah agama dan sekolah orang asli. 2 kategori telah dipertandingkan pada pertandingan ini iaitu kategori A yang melibatkan pelajar Sekolah Rendah yang berumur di antara 7 sehingga ke 12 tahun, manakala bagi kategori B pula merupakan pelajar Sekolah Menengah yang berumur di antara 13 sehingga ke 19 tahun. 

Sekolahku Berbakat



Pertandingan "Sekolahku Berbakat" 2023

Pertandingan "Sekolahku Berbakat" telah dijalankan selama 2 hari iaitu pada 4 dan 5 November 2023. Sesi ujibakat diadakan pada 4 November 2023 dan peserta yang berjaya akan ke pertandingan akhir yang diadakan pada 5 November. Seramai 233 pelajar menunjukkan pelbagai bakat pada pertandingan yang dianjurkan oleh Ipoh Parade. Antara persembahan yang ditonjolkan oleh pelajar ini termasuklah tarian pop, tarian Latin, persembahan etnik, tarian moden dan tradisional serta nyanyian persembahan daripada "Lagu Rakyat" dengan lagu-lagu tradisional dan lagu aksi serta paparan pelbagai alat muzik termasuklah 24 gendang perayaan, Orkestra String, Kompang dan Gendang Melayu.

Ipoh

Gerak Tari Latin Dari "Power of Queens" Mengungguli Tempat Pertama Bagi Kategori A!

Pertandingan akhir "Sekolahku Berbakat" diadakan pada 5 November 2023. Persembahan dinilai melalui nilai hiburan, kreativiti dan keaslian, persembahan, cabaran teknikal serta prestasi keseluruhan.

Seramai 53 penyertaan dari seluruh pelusuk sekolah di negeri Perak yang menyertai pertandingan "Sekolahku Berbakat" ini. Marina dah pernah kongsikan hadiah menarik yang telah disediakan untuk para peserta Pertandingan "Sekolahku Berbakat" pada entri sebelum ini.

Peserta dari SJK(C) Ave Maria Convent yang menggelarkan diri mereka sebagai "Power of Queens" telah menjadi juara untuk Kategori A, di mana mereka mempersembahkan kombinasi gerak tari Latin dan vokal yang amat luar biasa. "The Shine" yang mewakili SJK(C) Wan Hwa 1, mempertontonkan persembahan cemerlang di pertandingan ini berada di tempat kedua. Persembahan Latino yang dipersembahkan oleh "The Shine" ini menerima tepukan yang gemuruh daripada penonton yang hadir. Di tempat ketiga telah dimenangi oleh pasukan "Merak Kayangan Dancers" dari SK Pos Poi mempesonakan penonton dengan tarian tradisional mereka iaitu "Tarian Etnik." Begitu komitednya pelajar dari SK Pos Poi ini kerana mereka perlu menempuhi perjalanan selama dua jam setengah untuk ke Ipoh bagi menyertai pertandingan "Sekolahku Berbakat" ini. 

Bagi kategori B pula, tempat pertama dimenangi oleh kumpulan "Starlight" dari SMJK Yuk Choy Ipoh. Persembahan mereka menggabungkan elemen tarian moden dan tradisional yang penuh dengan kesenian, mempamerkan kekuatan dan keanggunan gerak tari tradisional Cina. Tempat kedua dimenangi oleh kumpulan "Gerak Tari Cendana" dari SMK Tarcision Convent yang mempersembahkan tarian tradisional Melayu yang lemah gemalai. Manakala kumpulan "AMC Dance Club" di SMJK Ave Maria Convent, memukau penonton dengan tarian KPop berada di tempat ketiga.

Ipoh Parade
Power of Queens
Starlight



Pemenang Kategori A

• Tempat Pertama : 
Power of Queens / SJKC Ave Maria Convent - Wang & hadiah bernilai RM1,500 
• Tempat Kedua    :  
The Shine / SJKC Wan Hwa 1 - Wang & hadiah bernilai RM1,000
• Tempat Ketiga    : 
Merak Kayangan Dancers / SK Pos Poi - Wang & hadiah bernilai RM500
• Hadiah Saguhati : 
> Wan Hwa 1 / SJKC Wan Hwa 1 - Hadiah bernilai RM300 
> The Shining Team / SJKC Pasir Pinji 2 - Hadiah bernilai RM300 
> Dream Girlz / SJKC Ave Maria Convent - Hadiah bernilai RM300 


Pemenang Kategori B

• Tempat Pertama : 
Starlight / SMJK Yuk Choy - Wang & hadiah bernilai RM1,500
• Tempat Kedua : 
Gerak Tari Cendana / SMK Tarcisian Convent - Wang & hadiah bernilai RM1,000
• Tempat Ketiga : 
AMC Dance Club / SMJK Ave Maria Convent - Wang & hadiah bernilai RM500
• Hadiah Saguhati : 
> Sam Tet Symphony Orchestra / SMJK Sam Tet - Hadiah bernilai RM300 
> E&K / SMJK Pei Yuan - Hadiah bernilai RM300
> Voice of DWar 1 / SMK Dato’ Wan Ahmad Rasdi - Hadiah bernilai RM300




Perspektif Panel Hakim Terhadap Prestasi Persembahan Pelajar

Pertandingan "Sekolahku Berbakat" ini bukan sahaja dapat memberi peluang kepada pelajar untuk menunjukkan bakat luar biasa mereka kepada orang ramai, malahan pelajar ini bertuah kerana mendapat nasihat dan pandangan yang bermanfaat daripada panel hakim. Profesor Burhanudin Bin
Zainal Azman, yang mewakili Jabatan Pendidikan Negeri Perak, menyatakan rasa sukacitanya terhadap pertandingan yang dianjurkan. Prestasi yang ditunjukkan oleh pelajar pada pertandingan ini persis penari dan penyanyi profesional. Beliau mengatakan bahawa pentingnya untuk menonjolkan bakat terpendam pelajar di platform awam dan memupuk minat yang sihat dan hobi untuk memastikan gaya hidup pelajar yang seimbang.

Seorang lagi pengadil di pertandingan ini iaitu Stephen Seah yang juga merupakan seorang artis rakaman untuk New Southern Records, memuji komitmen dan usaha pelajar untuk persembahan mereka. Beliau menekankan betapa pentingnya aktiviti luar sekolah yang dapat membantu pelajar mencapai tahap yang lebih tinggi untuk masa hadapan. 

"Walaupun menilai persembahan di dalam pelbagai kategori bukan satu tugas yang mudah, kami akan memastikan kami mengadili setiap pasukan dengan adil dan saksama," kata Stephen.

Lim Huey Tyng iaitu Pengurus Pengiklanan & Promosi Ipoh Parade menyatakan rasa bangganya dengan semangat peserta dan misi pertandingan untuk memupuk semangat berpasukan, perpaduan dan penemuan bakat terpendam. Beliau menyatakan sambutan yang menggalakkan terhadap pertandingan tersebut dan merakamkan penghargaan kepada guru, pengajar, jurulatih, ibu bapa dan pelajar atas dedikasi mereka dalam membuat persediaan untuk pertandingan tersebut.





Post a Comment

0 Comments