Dijemput Menjadi Pengadil Korean Mask Painting Di K-Street Carnival Ipoh Parade

Dijemput Menjadi Pengadil Korean Mask Painting Di K-Street Carnival Ipoh Parade | Marina sangat berbesar hati dijemput untuk menjadi pengadil bagi peraduan Korean Mask Painting sempena K-Street Carnival di Ipoh Parade pada 10 Jun 2023 yang lalu. Seumur hidup, Marina tak pernah mempunyai pengalaman menjadi pengadil untuk mana-mana pertandingan. Ini merupakan pertama kali Marina merasai pengalaman dijemput menjadi sebagai seorang pengadil. Marina sangat terhibur dengan gelagat para peserta sepanjang pertandingan Korean Mask Painting ini berlangsung. Satu pengalaman yang sangat berharga buat Marina. 

Korean Mask Painting
Korean Mask Painting yang meraih tempat pertama


K-Street Carnival 2023 Ipoh Parade

K-Street Carnival 2023 diadakan di ruang legar tingkat bawah di Ipoh Parade bermula dari 7 Jun 2023 sehingga 11 Jun 2023 yang lalu. Pelbagai aktiviti yang menarik disediakan oleh penganjur untuk para pengunjung bagi merasai pengalaman budaya masyarakat Korea. 

Di sini terdapat bazaar yang menjual pelbagai jenis produk yang melambangkan budaya masyarakat Korea seperti makanan, cenderahati dan bermacam-macam lagi. 


Aktiviti yang Dijalankan di K-Street Carnival

Para pengunjung dapat merasai pelbagai pengalaman di karnival ini seperti bergambar bersama pakaian tradisional Korea iaitu Hanbok. Para pengunjung berpeluang mengenakan Hanbok di sini dan mengambil gambar secara percuma! 

Selain itu, orang ramai boleh menyertai bengkel membuat origami (Jong-ijeobgi), bengkel membuat Gimbap, bengkel membuat Kimchi dan bengkel tarian K-pop. Persembahan tarian K-Pop oleh para remaja juga dipertontonkan kepada orang ramai.

Pelbagai hadiah menarik juga disediakan untuk para peserta yang menyertai pertandingan yang dianjurkan di K-Street Carnival ini seperti cabaran memakan Spicy Ramyeon, pertandingan Korean Mask Painting dan pertandingan K-pop Dance Cover.

K-Street Carnival

Peserta Membawa Glue Gun di Pertandingan Korean Mask Painting 

Pertandingan Korean Mask Painting diadakan pada 10 Jun 2023 pada jam 2.00 petang. Korean Mask Painting terbuka kepada semua peringkat umur. Pertandingan ini tidak mengikut kategori umur. Masa diberikan adalah selama lebih kurang sejam untuk para peserta menyiapkan mask painting mereka. Marina sangat terkejut dengan mask painting yang dihasilkan oleh setiap para peserta. Masing-masing menunjukkan kreativiti mereka untuk menjadi johan. Paling Marina kagum adalah terdapat para peserta yang membawa aksesori mereka sendiri seperti manik dan glue gun untuk menghiasi topeng mereka. 


Memenuhi Kriteria Mask Painting Dipilih Sebagai Pemenang

Marina diminta untuk mengadili mask painting ini berdasarkan 3 kriteria iaitu kreativiti (Creativity), tema (Thematic) dan teknikal (Technical). Seramai 30 peserta yang masuk pertandingan Korean Mask Painting ini dan sebanyak 30 penyertaanlah yang Marina perlu berikan markah untuk setiap topeng. Hadiah menarik disediakan untuk para peserta :

• Johan                     : Wang tunai dan hadiah bernilai RM300*
• Naib Johan            : Wang tunai dan hadiah bernilai RM200*
• Pemenang ketiga   : Wang tunai dan hadiah bernilai RM100*
• 5 Hadiah Saguhati : Hadiah bernilai RM50
*Hadiah terdiri daripada 50% Tunai dan 50% Hadiah

Hadiah-hadiah disponsor oleh outlet-outlet yang berada di Ipoh Parade iaitu Sasa, Secret Nail Color, Voir Gallery, Swaganz, Energized, MOG, Molly Fantasy, Llao Llao dan DRUM.




Dijemput Ke Pentas untuk Mengumumkan Keputusan Pemenang Korean Mask Painting 

Agak sukar juga nak memilih para pemenang. Semua mask painting yang dihasilkan kreatif dan cantik-cantik belaka. Sebelum pemenang Korean Mask Painting diumumkan, para peserta dan pengunjung dihiburkan dengan tarian K-pop dan bengkel tarian K-pop juga diadakan di situ. Para pengunjung dapat mempelajari tarian K-pop yang diajar secara percuma! Setelah bengkel tarian K-pop tamat lebih kurang jam 4.00 petang, tibalah masanya untuk mengumumkan pemenang Korean Mask Painting. Marina pulak yang berdebar sebab bukan Marina seorang je yang mengadili pertandingan ini. Marina juga ternanti-nanti siapakah yang bakal mendapat tempat pertama. 

Korean Mask Painting ini diadili oleh 3 orang pengadil iaitu Marina sendiri, seorang dari pengurusan Ipoh Parade dan seorang lagi merupakan seorang cikgu dari kelas seni. Markah dicampur daripada ketiga-tiga pengadil untuk menentukan pemenangnya. Apabila tiba masanya untuk mengumumkan para pemenang, Marina bersama-sama pengadil yang lain dijemput naik ke pentas bagi sesi penyampaian hadiah kepada pemenang. 


Pemenang Korean Mask Painting 

Apa yang mengagumkan Marina adalah peserta yang mendapat tempat pertama adalah merupakan seorang pelajar sekolah yang telah menandingi peserta di kalangan orang dewasa. Pada pendapat Marina, peserta ini memang layak memenangi Korean Mask Painting ini kerana topeng yang dihasilkan begitu unik kerana kreativiti yang dihasilkan dan menerapkan tema Korea yang ditonjolkan pada topengnya. Topeng peserta inilah yang mencuri perhatian Marina dari awal pertandingan Korean Mask Painting ini berlangsung. 

Tahniah kepada semua pemenang dan peserta yang menyertai pertandingan Korean Mask Painting ini. Marina tak sangka pertandingan ini mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan, tak kira umur dan bangsa. Masa pertandingan dah bermula pun masih ada lagi peserta yang ingin mendaftar dan menyertai pertandingan ini. Semoga karnival seumpama ini dapat dianjurkan di Ipoh Parade setiap tahun. 


Ipoh Parade


Post a Comment

4 Comments