Drama Sembelih Lembu Di Kampung Mertua Pada Hari Raya Haji

Drama Sembelih Lembu Di Kampung Mertua Pada Hari Raya Haji | Hari Raya Haji, Hari Raya Qurban atau Hari Raya Aidil Adha adalah salah satu perayaan penting dalam agama Islam. Setiap tahun, Marina suka bawa anak-anak tengok lembu, kerbau atau kambing yang akan dikorbankan. Marina suka bercerita kisah sejarah sesuatu peristiwa kepada anak-anak Marina untuk pengetahuan diorang kenapa berlakunya perkara tersebut. 

Sambutan Hari Raya Korban diraikan bagi memperingati peristiwa penting dalam sejarah Islam. Kisah ini adalah mengenai pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan di atas kerelaan puteranya, Nabi Ismail a.s dalam menunaikan perintah Allah s.w.t. Menurut Al-Quran, Nabi Ibrahim a.s menerima perintah dari Allah s.w.t untuk mengorbankan puteranya sebagai ujian keimanan. Namun, ketika Nabi Ibrahim a.s bersiap untuk melaksanakan perintah tersebut, Allah s.w.t menggantikan Nabi Ismail a.s dengan seekor kibas yang kemudian dikorbankan sebagai gantinya. Tindakan ini menunjukkan ketaatan dan kepatuhan Nabi Ibrahim a.s kepada Allah s.w.t.

Hari Raya Haji


Hukum Melaksanakan Korban

Hukum melaksanakan korban (qurban) pada Hari Raya Aidil Adha adalah sunah muakkadah (sunnah yang sangat ditekankan) bagi umat Muslim yang mampu. Ini bererti bahawa melaksanakan korban sangat dituntut tetapi jika tidak berkemampuan, tidak diwajibkan untuk melakukannya. Manakala ianya adalah wajib jika seseorang berniat untuk melakukan qurban nazar.


Syarat Sah Korban

Syarat sah berqurban hendaklah melakukan dua perkara ini iaitu :

#1 Niat untuk taqarrub diri kepada Allah SWT. Waktu niat qurban adalah semasa menyembelih atau semasa membeli ternakan qurban.

#2 Jika korang ingin berkongsi dengan tujuh orang, pilih ternakan qurban yang boleh dibahagikan, seperti unta, lembu atau kerbau. Manakala kambing atau biri-biri dikhususkan untuk seorang mewakili satu bahagian.


Depan Mata Berlaku Drama Sembelih Lembu dan Kerbau Di Kampung Mertua

Marina pesan pada anak-anak untuk tidur awal pada malam Hari Raya Aidil Adha. Pada keesokannya Marina kejutkan diorang bangun awal untuk pergi beraya di rumah opah diorang (Rumah mak mertua). Selepas solat sunat Hari Raya Aidil Adha, kiteorang bergerak ke rumah mak husband Marina. Rumahnya takdelah jauh, lebih kurang dalam 10 minit je.

Mak mertua dan adik husband Marina menyertai ibadah korban pada tahun ini. Harga korban yang ditawarkan boleh tahan juga. Ramai yang prefer menempah pakej Korban online sebab lebih murah. Ibadah korban dilakukan di masjid berhampiran rumah mak mertua. Semasa tiba di masjid, mak mertua dan adik ipar dah berada di masjid berkenaan untuk menyaksikan ibadah korban dilakukan. Ibadah korban ini dituntut kepada setiap orang Islam yang masih hidup yang dah mencapai umur akil baligh, merdeka dan berkemampuan.

Di masjid ini, sebanyak 4 ekor kerbau dan seekor lembu dikorbankan. Haiwan untuk dikorbankan perlulah dipilih mengikut syarat sah haiwan seperti haiwan tersebut merupakan haiwan ternakan dan bukan haiwan liar, sihat, tidak mempunyai kecacatan dan cukup umur. 

Adalah lebih afdal kalau orang yang melaksanakan ibadah korban, menyembelih sendiri korbannya. Tetapi, kalau tak mampu atau tak yakin dengan diri sendiri, dia boleh mewakilkan kepada orang lain, syarikat atau persatuan yang bersetuju untuk menguruskan ibadah korban dan sunat untuk sama-sama hadir menyaksikannya ibadah korban tersebut. 

Muwakkil atau orang yang meminta orang lain menjadi wakil untuk melaksanakan ibadah korban perlu melafazkan Akad Wakalah bagi mewakilkan orang lain mengendalikan urusan korban. Contoh akad wakalah umum :

“Saya Ahmad bin Muhamad bersetuju mewakilkan tuan menguruskan qurban saya pada tahun ini (1444H) kerana Allah Ta‘ala”.

Marina tengok dari awal cara menyembelih kerbau dan lembu yang hendak dikorbankan. Penyembelihan kerbau dan lembu tersebut dimulakan dengan niat oleh penyembelih dan kemudian haiwan qurban direbahkan menggunakan tali tebal. Semasa penyembelih nak rebahkan lembu, berlaku sedikit drama. Agak sukar nak rebahkan lembu tersebut tu ye. Lembu tersebut ditambat berhampiran dinding dan pagar masjid. Habis lembu tu merempuh dinding dan pagar masjid, mujur tak roboh. Orang yang duduk dekat nak tengok penyembelihan semua lari jauhkan diri. Lembu tersebut hampir-hanpir dapat melepaskan diri. 

Selepas berjaya rebahkan lembu dan menenangkan lembu, penyembelih membaca Bismillah, selawat ke atas Nabi dan seterusnya takbir sebanyak 3 kali sebelum dan selepas Bismillah. Kemudian penyembelih memegang tengkuk dan menyembelih di leher dengan memutuskan urat halkum, urat mari' serta dua urat di kiri dan kanan haiwan menggunakan alat sembelih yang tajam.  

Setelah kerbau dan lembu tersebut dah tak bergerak, proses melapah dimulakan. Kemudian urusan agihan daging korban diputuskan oleh jawatankuasa yang telah dibentuk, di mana daging korban tersebut perlu dipastikan mencukupi untuk diagihkan kepada pihak yang disenaraikan mengikut keutamaan iaitu mengutamakan gologan fakir dan miskin serta mereka yang tinggal di pedalaman. Jika ada lebihan daging korban, daging tersebut akan diagihkan kepada orang yang berkemampuan.

Hari Raya Aidil Adha


Soalan Mengenai Ibadah Qurban

Soalan yang biasa ditanya mengenai Ibadah Korban.

Tempoh dan Masa Berqurban

Penyembelihan perlu dilaksanakan pada Hari Nahar (10 Zulhijjah) dan Hari Tasyrik (11 hingga 13 Zulhijjah) meliputi malam ke-11, 12 dan 13. Penyembelihan dilakukan selepas solat sunat Hari Raya Aidil Adha. 


Status Hukum Daging Korban

• Haram untuk orang yang melakukan qurban nazar (wajib) dan ahli keluarga mereka memakan daging qurban nazar walaupun sedikit.
• Menurut ulama mazhab Shafi'i, adalah haram untuk memberi daging qurban sunat kepada orang yang bukan beragama Islam.
• Haram untuk orang yang melakukan qurban, sama ada wajib atau sunat, menjual kulit, lemak, daging, susu, kaki, kepala dan bulu-bulunya.
• Bahagian atau anggota sembelihan qurban tidak harus dikhususkan kepada tukang sembelih sebagai upah melakukan sembelihan, kecuali bahagian atau anggota tersebut diberikan oleh individu yang melakukan qurban.
• Sunat bagi individu yang melakukan qurban sunat (tatawu’) memakan daging qurbannya.

Hari Raya Qurban

Kalau korang nak tahu lebih lanjut korang boleh rujuk Garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Bilangan 2 Tahun 2013.



Post a Comment

0 Comments