Review Episod Akhir Legenda Puteri Qaseh

Review Episod Akhir Legenda Puteri Qaseh | Korang layan tak cerita Legenda Puteri Qaseh? Disebabkan wajah Qasrina Karim persis Mira Filzah, Marina terpanggil untuk tengok drama Legenda Puteri Qaseh ni. Tapi jangan jeles tau, Marina dah tonton tayangan finale Legenda Puteri Qaseh ni. Korang dapat agak tak pengakhirannya? Tunggu dan tonton episod akhir Legenda Puteri Qaseh ni di Astro Ceria pada hari Isnin 6 Mac 2023 ni jam 9 malam okeh. 

DRAMA : Legenda Puteri Qaseh
BERAPA EPISODE : 9
TARIKH TAYANGAN : 9 Januari 2023
WAKTU SIARAN : Isnin 9.00 malam
SIARAN TV : Astro Ceria
PENGARAH : Umi Salwana
GENRE : Klasik Fiksyen

WATAK PELAKON :
Qasrina Karim sebagai Qaseh
Norman Hakim sebagai Raja Sulung
Datuk Yusry Abdul Halim sebagai Raja Budi
Daniel Fong sebagai Laksamana Andika 
Bella Dowanna sebagai Laila
Datin Lisa Surihani sebagai Permaisuri Kalsom
Aziz M Osman sebagai Hidayat
Chew Kin Wah sebagai Tabib Chan Teik Tak
Chelsia Ng sebagai Che Sri Lee Za
Satthiya Kandhi sebagai Zaindaya


Sinopsis Legenda Puteri Qaseh

Drama Legenda Puteri Qaseh ini menceritakan kisah mengenai seorang gadis yang menjalani kehidupan yang susah di kampung, baru mendapat tahu yang dia merupakan seorang puteri mahkota di tempat tinggalnya iaitu di negeri Kayajaya. 

Ceritanya bermula apabila ayah Qaseh, Hidayat ditangkap kerana mencuri dan dipenjarakan di istana. Bagi menjayakan misi untuk mengeluarkan Hidayat dari penjara, Qaseh dan kawannya Laila meminta bantuan daripada Tabib Chan untuk menukar penampilan mereka dan mendapatkan tiket masuk ke dalam istana sempena majlis keputeraan Raja Sulung. 


Apa yang Peliknya Kalau Gong Sakti Diraja Berbunyi?

Setibanya di istana, seperti yang diceritakan oleh Tabib Chan mengenai Gong Sakti Diraja, Qaseh tertarik dengan cerita mengenai Gong Sakti Diraja berkenaan dan ingin mencuba membunyikan gong tersebut. Gong Sakti Diraja ini hanya akan berbunyi apabila diketuk oleh mereka yang berketurunan raja. Alangkah terkejutnya Raja Sulung apabila gong sakti itu yang diketuk oleh Qaseh menghasilkan bunyi. 

Disebabkan Qaseh berjaya membunyikan Gong Sakti Diraja tersebut dan latar belakangnya disiasat, Qaseh telah membuat keputusan tinggal di istana untuk menjalani kehidupan sebagai puteri mahkota kerana ingin membantu rakyat yang hidup dalam kesusahan. Pelbagai rintangan yang dihadapi oleh Qaseh sepanjang menjadi seorang Puteri Mahkota. Qaseh dikecam oleh rakyat di atas rancangan Paklongnya dan bermacam-macam lagi halangan yang terpaksa ditempuhi. 

Adakah Qaseh berjaya menambat hati rakyatnya, pekerja di istana dan merebut takhta daripada Paklongnya? 

Korang yang tak pernah layan lagi cerita Legenda Puteri Qaseh ni, jom layan trailer Legenda Puteri Qaseh : 



Menonton Tayangan Finale di Astro Theatre Hall Bersama Pelakon Legenda Puteri Qaseh

Hari Jumaat yang lepas Marina dan anak-anak berpeluang menyaksikan tayangan finale bersama pelakon Legenda Puteri Qaseh. Anak-anak Marina awal-awal dah request nak bergambar dengan Puteri Qaseh a.k.a Qasrina Karim ye. 


Seronok Anak Marina Dapat Berlakon Jadi Princess!

Tayangan bermula jam 2.30 petang. Sementara menunggu para pelakon sampai, pengacara majlis iaitu Muna Bella mengadakan aktiviti untuk anak-anak yang hadir. Anak-anak diminta untuk berjalan seperti seorang puteri. Anak-anak Marina pun tak melepaskan peluang untuk turut serta. Meriah sungguh dalam theatre tu dengan sorakan penonton. 

Sesi tayangan episod akhir Legenda Puteri Qaseh bermula apabila para pelakon dah sampai ke Astro Theatre Hall. Setelah habis menonton episod akhir Legenda Puteri Qaseh, kuiz kepada penonton diadakan dan cenderahati diberikan kepada pemenang. Aktiviti diakhiri dengan sesi bergambar dan autograf bersama pelakon Legenda Puteri Qaseh.  






Review Episod Akhir Legenda Puteri Qaseh

Secara jujurnya, Marina tak berminat cerita berunsurkan magik. Tetapi cerita Legenda Puteri Qaseh ni tak begitu sarat dengan magik dan fantasi. Ceritanya lebih kepada cerita berunsurkan dongeng rakyat dan sedikit komedi. 

Anak-anak Marina memang layan cerita ni kat Astro Ceria. Kalau malas nak tunggu lama episod seterusnya, marathon terus kat Astro on the Demand. 

Apabila anak-anak Marina dapat tahu boleh tengok episod akhir Legenda Puteri Qaseh terlebih awal dan berpeluang berjumpa dengan para pelakon, dioranglah yang paling excited termasuklah mak diorang. Marina sangat teruja sebab berpeluang menyaksikan terlebih awal kesudahan cerita Legenda Puteri Qaseh ni. 


Pengakhiran yang Mendebarkan!

Apa yang Marina boleh katakan mengenai episod akhir Legenda Puteri Qaseh ni agak mendebarkan dan agak sedikit kecewa. Berjayakah Puteri Qaseh melepaskan diri selepas ditangkap oleh Raja Sulung. Adakah kejayaan berpihak kepada Puteri Qaseh apabila Laksamana Andika telah mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh Puteri Qaseh? Adakah Laksamana Andika menyesal atas perbuatannya dan kembali membantu Puteri Qaseh? 

Kisah Legenda Puteri Qaseh ini mengajar kita untuk berbuat baik dengan setiap orang tidak mengira pangkat dan darjat, tidak mementingkan diri sendiri serta bertindak mengikut kebijaksanaan dan bukan ikut hati. 

Sama-sama kita ramai-ramai saksikan episod akhir Legenda Puteri Qaseh di Astro Ceria hari Isnin 6 Mac 2023 jam 9 malam di Astro Ceria. 
















Post a Comment

0 Comments