Cara Melupuskan Harta Yang Haram (Wang Tidak Patuh Syariah) di MAIS

Cara Melupuskan Harta Yang Haram (Wang Tidak Patuh Syariah) di MAIS | Maksud wang atau harta tidak patuh syariah adalah wang yang diperolehi dengan cara yang haram iaitu bertentangan dengan Syariat Islam. Ramai umat Islam sama ada secara sedar atau tidak yang terjebak dengan urusan kerja secara haram hingga menjadikannya sebagai sumber rezeki harian untuk diberikan makan kepada ahli keluarga. Manusia mudah digelapkan mata dengan wang ringgit dan kebendaan hingga alpa dan tidak mempedulikan halal atau haram dalam kehidupan. Walaupun kita amat digalakkan menceburi bidang perniagaan kerana dikatakan 9/10 daripada rezeki adalah datangnya dari perniagaan, tetapi hendaklah daripada perniagaan yang halal dan sah. Benarlah firman Allah SWT dalam surah al-Taghabun ayat 15:

 “Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.”

Cara mudah untuk memperolehi wang ini pula dipertontonkan kepada seluruh masyarakat dengan menayangkan koleksi kereta mewah, menjalani gaya hidup mewah, membuat percutian mewah dan seumpamanya yang diragui latar belakang kerjaya sebenarnya. 

Tidak syak lagi ramai umat Islam kini telah tidak mempedulikan halal dan haram sebagaimana yang telah diperingatkan oleh Rasulullah SAW sendiri kepada kita melalui hadis baginda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa: 

"Pasti akan datang suatu zaman di mana manusia tidak lagi mempedulikan dari mana hartanya diperoleh, apakah dari jalan yang halal atau haram.” (Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menjelaskan akan wujud pergeseran nilai-nilai yang dipegang teguh oleh generasi umat Islam terdahulu yang sentiasa berusaha mencari perkara halal dan sedaya upaya menjauhi perkara yang haram. Tetapi keadaan sebaliknya yang akan berlaku apabila manusia akhir zaman yang lebih mementingkan wang ringgit dan kekayaan semata-mata tanpa melihat pertimbangan yang sebaik mungkin berdasarkan agama dan moral. 
Photo by : hmetro.com.my
Photo by : beritaharian.com.my

Cara Wang Haram Diperolehi 

Antara ‘pekerjaan’ yang haram dan syubhah yang mungkin di antara kita pernah lakukan sama ada sedar atau tidak :
• Memperdaya orang 
• Menipu
• Menawarkan pelbagai skim cepat kaya yang diragui 
• Mengadakan transaksi riba 
• Mengambil deposit wang secara tidak sah 
• Menyertai pelaburan saham tidak patuh syariah 
• Menyalahgunakan kuasa 
• Memberi dan menerima rasuah dan bermacam-macam lagi 

Tuntutan Mencari Rezeki Yang Halal

Umat Islam berkewajipan untuk mencari dan memperolehi rezeki daripada sumber yang halal. Sumber-sumber yang halal ialah sebarang hasil usaha yang tidak bertransaksi dengan perkara atau unsur yang haram, tiada unsur syubhah, tiada unsur gharar, tidak mengambil hak orang lain, tidak menipu, mencuri atau merompak dan tidak menyalahgunakan kuasa. 

Hadis Rasulullah SAW daripada An-Nu’man bin Basyir r.a katanya :

 “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang halal itu telah jelas (hukumnya) dan yang haram itu jelas (hukumnya) dan di antara kedua duanya (halal dan haram) terdapat perkara yang syubhah (yang tidak akan jelas akan kehalalannya dan keharamannya) yang tidak di ketahui oleh ramai manusia, maka barang siapa yang berjaga-jaga  dari perkara yang syubhah, sesungguhnya ia telah menjaga agama dan kehormatannya." (Riwayat al-Bukhari)

Islam mewajibkan umatnya mencari rezeki yang halal, bersih dan berkat serta bekerja dengan tekun untuk mencapai kebahagian dunia dan akhirat. Jika umat Islam sentiasa mengingati tentang hukum Allah dalam mencari rezeki dan nafkah kehidupan, maka mereka akan melibatkan diri dalam sebarang pekerjaan yang halal walaupun tubuh badan dan pakaian mereka kotor dan disaluti lumpur. Ukuran status dan kedudukan individu bukan berdasarkan kepada kehebatan dan penonjolan diri sebagai seorang yang bertarafkan golongan bangsawan atau atasan tetapi ia berdasarkan kepada bagaimana seseorang individu itu mengendalikan hal ehwal kehidupannya secara diredai Allah. Jika seorang individu mempunyai kedudukan yang tinggi dan kaya hasil daripada punca rezeki yang haram maka taraf dan kedudukannya adalah terlalu rendah dan hina pada pandangan Allah. Rezeki yang diperoleh secara haram tidak akan diberkati Allah dan malah dijanjikan balasan buruk oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Berzakat Tidak Boleh Sucikan Harta Yang Tidak Patuh Syariah?

Dalam konteks harta yang haram dan syubhah ini, ia sememangnya tidak boleh dijadikan rezeki atau dimiliki dan sebaliknya hendaklah dikembalikan kepada pemilik asal. Imam Nawawi menyatakan bahawa kaedah penyucian harta yang haram adalah dengan bertaubat, memulangkan semula kepada pemilik asalnya atau warisnya dan membelanjakan bagi maksud maslahah umum. 

Rezeki yang haram tidak boleh disucikan dengan zakat. Zakat hanya disucikan melalui sumber rezeki kita yang halal sahaja. Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: 

“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Taubah: ayat 103)

Ibadat zakat adalah penilaian yang subjektif selain dari agen penyucian, ia adalah hak “orang lain” di dalam harta kita. Berbeza dengan penyucian harta haram atau syubhah atau mudah disebut sebagai wang tidak patuh syariah, ia adalah jelas, objektif dan umum diketahui oleh umat Islam tentang pengharamannya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim, Rasululullah S.A.W. bersabda : 

"Barangsiapa yang mengumpulkan harta yang haram kemudian mendermakannya, tiadalah baginya sebarang pahala (kerana harta itu bukan hartanya) dan penanggungan dosanya kekal (sehingga bertaubat)“

Maka dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk menjauhkan diri daripada bertransaksi dengan urusan-urusan yang melibatkan perkara-perkara haram atau diragui kehalalannya. Allah SWT telah memperingatkan kita supaya janganlah mengambil harta yang haram sebagaimana maksudnya:

 “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah: 188)

Photo by : yadim.com.my

Fungsi Institusi Kewangan Islam (IKI)

Dengan kepesatan pembangunan ekonomi negara ketika ini dan tumbuhnya pelbagai institusi kewangan Islam pada hari ini seperti bank-bank Islam, akaun-akaun dan sekuriti-sekuriti patuh syariah, syarikat-syarikat insurans Islam (takaful), syarikat-syarikat pajak gadai Islam (Ar-Rahnu) dan sebagainya, maka menjadi kewajipan (compulsory) kepada umat Islam untuk menggunakan sistem kewangan Islam yang wujud ini dengan sewajarnya. Pelbagai cabang pengurusan harta Islam telah diteroka dan hasilnya ia direalisasikan untuk manfaat seluruh umat Islam. Aplikasi pelaksanaan sesuatu perkhidmatan itu dikaji dari segenap segi bagi memastikan perjalanan atau proses perkhidmatan yang dilaksanakan sentiasa bersandarkan kepada hukum syarak.

Pada masa yang sama, dengan memantapkan iman dan memelihara diri dari melakukan perkara-perkara yang mazmumah, insya Allah akan menghindarkan diri kita dari terjebak ke lembah kehinaan atau memakan hasil-hasil yang haram. 

Photo by : beritaharian.com.my

Pendekatan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Terhadap Wang Tidak Patuh Syariah 

Sebagai sebuah organisasi ulung yang bertanggungjawab mentadbir dan memegang amanah harta-harta orang Islam, MAIS berperanan untuk menyampaikan maklumat dan pengetahuan kepada seluruh umat Islam berkenaan peri pentingnya mengurus harta secara bijaksana sebagaimana yang dituntut oleh hukum syarak.

Mengambil pendekatan di atas, salah satu terimaan yang diperolehi di MAIS adalah melalui serahan wang tidak patuh syariah. Wang tidak patuh syariah boleh dikatakan sebagai istilah baru bagi mengambil pakai penggunaan nama wang haram atau wang syubhah yang bersesuaian dengan arus kemodenan masyarakat ketika ini.

Penyerahan kepada Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor merupakan pilihan cara pelupusan yang utama, selamat dan meyakinkan serta mampu menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi umat Islam sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Seksyen 7, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003:

 “maka hendaklah menjadi kewajipan majlis untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam negeri Selangor selaras dengan hukum syarak.”

Photo by : beritaharian.com.my

Bagaimana Cara Penyerahan Wang Tidak Patuh Syariah Kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)?

Serahan wang tidak patuh syariah boleh dibuat secara tunai atau cek di kaunter Baitulmal ibu pejabat atau pejabat-pejabat agama Islam daerah dalam negeri Selangor atau secara pindahan wang. 
• Depositkan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad, no. akaun 12-038-01-009567-6 atau cek atas nama “Majlis Agama Islam Selangor” 
• Pindahan wang melalui sistem e-MAIS di http://fpx.mais.gov.my/epay/syubhah.php . 


Semoga dengan penyucian harta ini diterima dan diberkati Allah SWT. Jika korang perlukan info lanjut dan panduan, korang boleh layari laman : 

Website MAIS:

Post a Comment

16 Comments

  1. Bahaya betul dapat duit dengan cara haram..bg makan anak dan isteri. Allahu..jadi darah daging tu

    ReplyDelete
  2. Kita wajib tahu mana datang rezekinya.. Bagi yang ada wang syubhah tau dr rezeki yg tak halal boleh lah serahkan ke baitulmal..

    ReplyDelete
  3. Bagus bila ada cara nak lupuskan pendapatan haram ni.
    apapun, biarlah cari rezeki yang halal lagi baik.

    ReplyDelete
  4. Satu perkingsian yang baik untuk dibaca semua semoga segala apa yg kita peroleh sekarang diberkati Allah swt.

    ReplyDelete
  5. Baru Iza tau ada proses pelupusan wang tak patuh syariah rupany. Ingatkan duit tu terkumpul macam tu je. Apa-apa pun biarla cari rezeki dari sumber yg halal.

    ReplyDelete
  6. Baru saya tau tentang pelupusan wang haram dan syubhah ni. Terima kasih atas perkongsian ilmu.

    ReplyDelete
  7. Betl! Sokong sangat...terima kasih marina share. Dapat banyak ilmu hari ni

    ReplyDelete
  8. This is really a useful post about knowing more about our income source so that we will know that the money we will be spending his "Clean". Thanks for sharing this beneficial post.

    ReplyDelete
  9. Bagus sharing ni.. Kene share dengan semua org.. Ada je org yang dapatkan duit secara haram.. Ingt zakat leh lupuskan duit haram tu.. Nasib ada Baitumal

    ReplyDelete
  10. Bagus juga ada cara begini, jadi jika kita rasa apa yang kita dapat tu mencurigakan dari sumber mana, eloklah berbuat demikian, orang fikir, dia bayar zakat, maka automatik jadi halal.. yang kurang ilu je kata begitu..Allahuakbar... moga kita semua dijauhkan dari yang haram...

    ReplyDelete
  11. Interesting topic, boleh share ni dengan rakan2 yang boleh memanfaatkan mereka utk memahami content ini..

    ReplyDelete
  12. Semoga dijauhkan lah dari harta yang haram ni.

    ReplyDelete
  13. Terimakasih atas perkongsian ini. Semoga bermanfaat buat yang lain :)

    ReplyDelete