12 Resepi Menu Wajib Dimasak Di Pagi Raya

12 Resepi Menu Wajib Dimasak Di Pagi Raya | Setiap kali raya menu wajib yang akan Marina masak ialah Sambal Daging Kicap. Suka masak resepi ni sebab tak menggunakan santan. Tahu je lah time raya, santan ni bahan masakan yang paling dicari. Nak dapat santan agak time nak raya agak susah. Tambah tambah musim PKP ni. Pergerakan terbatas nak beli barang dapur kan? Walaupon sekarang dah ada sedikit kelonggaran, masih ramai juga yang takut untuk keluar shopping. Ada yang kata guna je santan kotak, kan mudah. Pada Marina guna santan kotak dan santan perah, agak berbeza rasa kesedapan sesuatu makanan tu. Setuju tak?

Di sini Marina kongsikan resepi juadah yang wajib dimasak oleh sahabat-sahabat di pagi raya.Takdelah tiap kali di pagi raya kita masak menu yang sama kan? Tukar-tukar selera pulak.

menu raya



12 Resepi Menu Wajib Di Pagi Raya

#1 Sambal Daging Kicap

Bahan-bahan:
1. Cili boh 4 sudu besar. Kalau nak guna cili kering guna 30 biji.
2. Cuka
3. Kicap manis kipas udang. Marina biasa guna kicap ni. Kalau kicap lain tak tau jadi ke tak.
4. Bawang merah besar 5-6 biji.
5. Garam dan gula.
6. Daging 1kg.

Cara-cara: 

1. Perap daging dengan cuka, kicap manis kipas udang dan gula. Sukatan agak-agak je. Cuka 5-6 sudu besar. Kicap 7-8 sudu besar. Gula 2 sudu besar. Kalau rasa tak cukup tambah lagi sukatan.
2. Sementara tunggu daging perap, masak sambal dia.
3. Blend dan tumis bawang merah sampai naik bau.
4. Bila bawang dah naik bau dan air dah kering sikit, masukkan cili boh.
5. Dah pecah minyak, masukkan daging yang dah diperap tadi. Tak perlu tambah air.
6. Kacau sampai sebati. Masukkan garam. Kalau tak cukup rasa tambah lagi kicap manis.
7. Keringkan air sikit. Dah siap.


resepi daging sambal


Kredit : Marina Bashah


#2 Resepi Sambal Kacang Tanpa Santan

Bahan-bahan untuk membuat sambal kacang :
~Kacang(disangai atau digoreng tanpa minyak, kemudian diasingkan kulit, seterusnya ditumbuk sedikit halus)
~Segenggam udang kering*
~lengkuas*
~Halia*
~Serai
~Beberapa tangkai cili kering**
~3-4 biji bawang merah**
~3 biji bawang putih**
~Sedikit Minyak
~Garam
~Gula
~asam keping
* untuk di blender.
** Blender bersama

Cara-cara membuatnya :
1. Panaskan minyak dan masukkan bahan yang diblender bersama.Agak-agak dah pecah minyak tu,boleh masukkan lengkuas dan halia yang sudah di blender.
2. Kemudian masukkan udang kering.Selepas itu masukkan serai dan asam keping.
3. Last sekali baru masukkan kacang yang sudah di blender.
4. Baru perasakan garam dan gula..masukkan sedikit air.

Sambal kacang ni lagi sedap kalau letak gula lebih sedikit .Rasa manis tu yang sedap kan. Hah!!..senangkan…untuk resepi mak aku ni memang tak letak santan ok!

resepi sambal kacang




#3 Kacang Pool

Bahan-Bahannya :
1 tin kacang pool, toskan dan ramas hingga hancur
1 tin kecil baked beans
200 gram daging lembu kisar
10 biji bawang merah*
4 ulas bawang putih*
1 inci halia*
1 1/2 camca besar rempah kari daging
1 camca besar ketumbar serbuk
1 kiub daging (optional)
2 cawan air
Garam dan gula secukup rasa
2 camca besar minyak sapi

(*dikisar halus)

Bahan-Bahan Sampingan :
Roti paun atau roti perancis atau roti biasa pun boleh
Telur, digoreng mata kerbau
Bawang besar, didadu
Cili hijau, dihiris
Cili merah, dihiris
Tomato, didadu
Limau kasturi secukupnya
Minyak sapi cair

Cara Membuatnya :
1. Satukan bahan kisar halus bersama rempah kari dan ketumbar serbuk, kacau rata, kalau pekat tambah sedikit air. Kacau hingga menjadi pes. Ketepikan. Panaskan minyak sapi, tumis pes rempah tadi hingga harum dan terbit minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
2. Masukkan daging kisar, kacau rata dan masak hingga daging berubah warna. Masukkan air dan kiub daging (jika guna). Bila mendidih, masukkan kacang pool dan baked beans. Kacau rata.
3. Masak hingga pekat sedikit, tambah garam dan gula secukup rasa, masak sekejap dan rasa, jika ok boleh matikan api (bila sejuk kacang pool akan jadi pekat, jadi anda boleh tambah sedikit air panas jika nak sedikit cair). 
4. Untuk menghidang, cedok secukupnya kacang pool ke dalam mangkuk sesuai, letak sekeping telur mata kerbau, tabur bawang besar, tomato, hirisan cili merah/hijau dan curahkan sedikit minyak sapi cair atasnya. Perah jus limau kasturi sebelum dihidangkan bersama roti bakar.

resepi kacang pool


Kredit : Noor Liza


#4 Rendang Ayam Sedap

Bahan-bahan :
1 ekor ayam
Santan cair
Santan pekat
Kerisik
Daun kunyit (dihiris halus)
Cili boh (cili kering dikisar)
Kulit kayu manis
Bunga Lawang
Buah Pelaga

Bahan untuk dikisar :
10 ulas bawang merah
10 ulas bawang putih
2 inci halia
2 inci lengkuas
1 inci kunyit
3 batang serai (saiz besar)

Cara-cara :
1. Kisar semua bahan sehingga lumat.
2. Panaskan minyak. Masukkan kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pala. Biar seketika masukkan bahan yang dikisar.
3. Kemudian masukkan cili kering yang diblend. Agak agak korang la nak banyak mana ya.
4. Masukkan ayam gaul sebati. Masukkan santan cair. Biarkan sampai kuah agak kering, masukkan santan pekat. Gaul sebati. 
5. Masukkan kerisik. Gaul lagi. Akhir sekali masukkan daun kunyit dan garam.
6. Siap. Boleh dihidang bersama ketupat, lemang atau pun nasi panas.

Rendang ni boleh juga dimasak menggunakan cili padi. Terpulang kepada selera masing masing. Rendang ayam ni banyak versinya kan. Todak kisahlah nak olah macam mana asalkan sedap di makan pada hari biasa ataupun pagi Hari Raya. Selamat mencuba!

resepi ayam rendang


Kredit : Mimi Azirah


#5 Resepi Biskut Dahlia

Bahan-bahannya:
250 g mentega
125 g gula kastor - mummy tak suka manis
250g tepung *
125 g tepung kastad *
125 g tepung jagung *
3 biji kuning telur(saiz B)
1 camt esen vanila
secubit garam
ceri/sebarang hiasan yang korang suka......

Cara membuatnya:
1. Ayak bahan bertanda (*)
2. Putar mentega, gula kastor dan secubit garam hingga kembang,
3. Masukkan kuning telur dan vanila dan putar  lagi hingga sebati.
4. Masukkan tepung-tepung yang telah diayak. Uli hingga sebati.
5. Picitkan adunan menggunakan acuan dahlia ke dalam loyang. Hias dan bakar dengan suhu 160 darjah celcius selama 15 min. Jangan lupa panaskan oven selama 10 min untuk mendapatkan biskut yang cantik.

Selamat Mencuba.

resepi biskut dahlia




#6 Resepi Daging Masak Kerutuk

Bahan-bahannya:
500 gram Daging (rebus hingga empuk Bonde empukkan dalam 15 minit sahaja guna Dapur dan Periuk AMC)
2 Labu bawang besar (dihiris)
5 ulas bawang putih (dihiris)
3 batang serai (dihiris)
1 paket kerisik
1 paket serbuk kerutuk Adabi
500 ml santan kotak
3 serangkai ( bunga lawang, kayu manis dan buah pelaga)
sedikit garam
sedikit serbuk cukup rasa maggi

Cara-cara memasak :
1. Kali ini, Bonde gunakan dapur AMCMalaysia secara manual, setting kepanasan api ke nombor 4 untuk panaskan minyak, masukkan serbuk kerutuk, bawang merah dan bawang putih dan serai, biarkan ianya garing.. dan masak rata.
2. Masukkan daging dan santan, kacau rata.. settingkan kepasan api ke nombor 5 dan 6 untuk ianya masak sempurna dan lebih cepat, selepas itu masukkan garam dan serbuk cukup rasa maggi, seterusnya masukan kerisik dan biarkan ia kering sedikit. tutup suiz api dan padamkan plug.

Sedia untuk dihidangkan!

Masakan Daging kerutuk kali ni, Bonde buat tak pedas next time boleh letak cili api belah dua kalau nak pedas  dan tambah kentang.  Lauk macam ni sesuai dimakan bersama nasi minyak, nasi berani, nasi impit dan pulut tanak, kalau tak ada nasi putih pon boleh he he he





#7 Resepi Nasi Daging Utara

Bahan-bahan :
6 cawan beras, direndam 30 min dan ditoskan
600 gm daging dipotong kiub, direbus
3 sudu besar rempah kurma
2 sudu besar puri tomato
1 cawan susu cair (kalau tak suka boleh abaikan)
2 helai daun pandan, disimpulkan
1 batang serai, dititik
Garam secukup rasa
2 sudu minyak sapi
3 sudu besar minyak masak
sedikit kismis hitam

Bahan untuk merebus daging :
1 sudu besar rempah kurma
2 inci halia, dihiris
Air

Cara membuatnya :
Rebus daging bersama halia dan rempah kurma sehingga empuk.  Tutup api dan biarkan.

Bahan untuk menumis :
2 labu bawang besar, dihiris
5 ulas bawang putih, dihiris
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
2 batang kulit kayu manis

Bahan untuk air asam :
1 biji bawang besar, dihiris nipis
5 biji cili merah, dihiris nipis
5 bjiji cili api, dihiris nipis (kalau nak pedas)
2 biji tomato, dipotong dadu
1 inci belacan, sebaiknya dibakar
1 mangkuk air perahan asam jawa
2 sudu sos ikan Thai (kalau tak suka, tak perlu bubuh)
Sedikit gula dan garam secukup rasa
1 sudu besar kerisik
Sedikit perahan air limau kasturi/nipis

Caranya :
Kesemua bahan dimasukkan kedalam bekas dan di gaul hingga mesra.

Bahan untuk hiasan :
Daun bawang
Daun Sup
Bawang Goreng

Cara membuatnya :
1. Panaskan minyak sapi beserta minyak didalam periuk. 
2. Tumis bawang besar, bwang putih, bunga cengkih, kulit kayu manis dan pelaga hingga naik bau, kemudian masukkan rempah kurma bersama serai.  
3. Kacau hingga pecah minyak kemudian masukkan beras yang telah ditos. Kacau seketika.
4. Masukkan air rebusan daging bersama susu cair, puri tomato, daging yang direbus dan kismis (kalau suka) serta sedikit garam. 
5. Kacau hingga sebati, biarkan ianya masak dan kacau lagi. Bila air dah kering, tutup periuk. Pastikan dengan perlahankan api dapur. 
6. Kalau takut nasi hangit, pindahkan nasi ke dalam periuk nasi elektrik. Bila air dah kering, gemburkan nasi dan biarkan nasi masak.
7. Masukkan dalam bekas dan taburkan daun bawang, daun sup dan bawang goring.

resepi nasi daging




#8 Resepi Nasi Arab Ayam Mandy

Bahan-bahan Ayam :
1 ekor ayam dicuci bersih
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu besar jintan putih
1 sudu besar serbuk lada hitam
1 sudu besar serbuk kunyit
Garam
Pewarna kuning

Cara penyediaan :
Memandangkan Sha tak ada stok ayam dipotong empat jadi Sha gunakan stok ayam yang telah siap dipotong. Gaulkan ayam dengan semua bahan diatas dan perap. Sha perap dalam pukul 3.30 petang sedia untuk digoreng pada waktu yang sesuai sebelum berbuka puasa.

Bahan-bahan untuk nasi arab mandy :
5 cawan beras basmathi yang dibersihkan dan ditos - Sha gunakan jenama faiza
5 cawan air
1/2 biji bawang besar Holland*
2 ulas bawang putih*
1 inci halia*
bahan bertanda * dikisar bersama
---
1 sudu besar serbuk jintan putih*
1 sudu besar serbuk jintan manis*
1 sudu besar serbuk ketumbar*
1 batang kayu manis*
2 bunga lawing*
bunga cengkih*
buah pelage*
bahan bertanda * bahan tumis
1/3 cawan kismis
garam secukupnya , sha guna 2 sudu kecil
3 sudu besar minyak sapi

Cara penyediaan Nasi Aram Ayam Mandy Noxxa Langkah Demi Langkah :
1. Set periuk noxxa di Stir Fry (SF), jangan lupa tekan ON. Masukkan minyak masak secukupnya untuk goreng ayam yang telah diperap petang tadi. Goreng sehingga sedikit kering dan keluarkan. Jika minyak banyak keluarkan lebihan minyak.
2. Masukkan minyak sapi dan tumis bahan yang telah dikisar tadi diikuti bahan tumis yang lain. Tumis sehingga naik bau.
3. Masukkan beras yang telah dittos tadi dan kacau sedikit.
4. Masukkan air diikuti dengan garam, serbuk kunyi/ pewarna kuning dan kismis. Gaul semua bagi sebati.
5. Ambil ayam yang telah digoreng tadi dan susun diatas beras, letakkan daun bawang dan daun sup diatas ayam.
6. Tutup periuk, pastikan tombol ke arah PRESSURE dan tekan HIGH PRESSURE untuk 8 minit dan tekan ON.
7. Selepas selesai 8 minit tunggu lebih kurang 3 minit sebelum tukar tombol kepada STEAM dan tekan OFF.
8. Buka penutup dan keluarkan ayam perlahan-lahan.
9. Kacau sedikit nasi biar sebati dan boleh keluarkan nasi untuk dihidangkan. Boleh susun ayam diatas nasi kembali.

Resepi Sos Nasi Arab :
1 biji tomato
5 biji cili padi merah & hijau
Garam
Gula
1/2 biji lemon diperah

Semua bahan diatas dikisar bersama.

Acar / Jelatah Nasi Arab :
Timun batang dipotong dadu
Buah tomato dipotong dadu
Garam
Gula
Cuka

Semua bahan digaul bersama.

resepi nasi arab ayam mandy


Kredit : Shalimar Yusof


#9 Rendang Kerang

Bahan – Bahan A ( Kisar ) :
15 tangkai Cili Kering
3 batang Serai
2 ulas bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inch kunyit basah
1/2 inch halia
1/2 inch lengkuas

Bahan -Bahan B :
1/2 kilo isi kerang
1 cawan santan
1 sudu besar gula perang
1/2 cawan air asam jawa
2 sudu besar kerisik
Garam, secukup rasa
Daun limau purut
Minyak masak

Cara Penyediaan :
1.  Panaskan minyak untuk menumis bahan yang di kisar lumat tadi dalam api yang sederhana. Kacau perlahan-lahan sehingga naik bau.
2. Masukkan santan, gula perang,garam dan kerisik dan biarkan sampai separuh pekat. Bila nampak agak dah nak pekat, masukkan kerang dan air asam jawa, pastikan kacau rata. Taburkan daun limau purut tadi.
3. Biarkan sampai menjadi pekat.

Tip Dari Dapur Cikza :
Gula perang boleh digantikan dengan gula pasir, rasanya lagi sedap dan sekata manisnya boleh menaikkan selera. Gula perang bertindak sebagai penambah perisa.
resepi rendang kerang


Kredit : Cikza Mohmad


#10 Rendang Ayam Mudah

Bahan-bahannya :
Ayam seekor – dipotong 12 bahagian
Santan 1 – 1 1/2 kotak
Kerisik
Gula merah
Garam
Asam Keping
Daun kunyit dihiris halus2

Bahan Kisar :
Cili kisar 4 – 5 sudu besar
Bawang besar 4 biji
Bawang putih 4 biji
Serai 3 batang
Halia 3 inci
Kunyit 3 inci
Lengkuas 3 inci
Buah keras 3 biji

Cara-cara :
1.  Mula-mula panaskan minyak, kemudian bila minyak dah panas, masukkan bahan yang dikisar tadi, dikacau sehingga naik baunya.
2. Kemudian masukkan pula ayam dan masak sehingga ayam tu nampak kecut dan pecah minyak. Dapat bayangkan ya bahan tadi tu menyerap dalam ayam. 
3. Bila dah terbit minyak masukkan pula santan. Ha masak sehingga kuah nampak pekat. Petua nak rendang ni tahan lama adalah masak dengan api kecil dan sehingga ianya nampak pekat juga terbit minyaknya.
4. Setelah itu masukkan pula gula, garam, kerisik, asam keping. Emm secukup rasa ya, biar rasa masin, masam dan manisnya tu seia dan sekata.
5. Kemudian kacau dan masukkan pula daun kunyit yang telah dihiris halus, emm semerbak bau daun kunyit tu, wallahhh dah siapp!!
6. Senang kan resepi rendang ayam mudah dan sedap ini? Ha dah boleh  masuk dapur ya tuan puan, selamat mencuba semua!!! Nanti komenlah macamana hasil masakan anda ya. Bye bye

rendang ayam


Kredit : Junaidah Mohit


#11 Lontong Goreng Bayam Brazil

Bahan-bahan:
7 ketul ketupat mini - da siap rebus dan potong empat
segenggam udang kering*
bawang merah*
bawang putih*
2 senduk ciliboh - saya memang da mesin cili kering awal-awal buat stok
2 biji telur gred A
taugeh
bayam brazil - rendamkan dahulu di dalam air garam selama 10-20 minit

Cara-cara :
  1. bahan bertanda * dikisar halus-halus - tumiskan bersama minyak masak hingga naik bau yg harum.
  2. masukkan ciliboh. goreng hingga garing dan terbit minyak.
  3. pecahkan telur. kacau agar telur menjadi seakan-akan telur hancur.
  4. masukkan ketupat mini dan taugeh. gaul rata.
  5. tutup api dapur. akhir sekali, masukkan bayam brazil ke dalam lontong goreng dan gaul rata.

Tak perlu masak bayam brazil tersebut. kita nak maintain kerangupannya bila kita makan nanti. Bila makan, sedap bila ada sedikit sebanyak elemen rangup dari taugeh dan bayam brazil.

lontong


Kredit : Aida Hanafiah




#12 Kari Daging

Bahan-bahan Kari Daging :
1. Daging 500gm
2. 1 pek Rempah Kari Daging Mak Siti (400gm)  - Bancuh dengan sedikit air
3. Bawang Besar - 1 labu
4. Halia - 1 inci 
5. Kentang - 2 biji (optional)
6. Santan - 1 biji kelapa
7. Daun Kari – 2 tangkai
8. Bahan Perasa
9. Minyak Masak 2 sudu
10. Sedikit Air

Tempoh masakan :
30minit - 1 jam untuk dapatkan daging yang empuk.

Cara-Cara Masak Kari Daging :
1. Panaskan minyak dan masukkan bawang dan halia. Tumis sehingga kuning dan wangi. Bancuh Rempah Kari Daging Mak Siti dengan sedikit air. Kacau sebati dan masukkan ke dalam bahan yang ditumis tadi. Kacau sehingga garing dan naik bau.
2. Masukkan daging dan digaul rata bersama rempah sehingga agak agak air daging kering dan rempah terbit minyak, tutup periuk masak sehingga daging empuk.
3. Masukkan santan dan air secukupnya. Masak dengan api perlahan sehingga daging empuk. Masukkan sekali ubi kentang. Akhir sekali masukkan bahan perasa secukup rasa.

kari daging


Kredit : Izzara Qistina




Post a Comment

3 Comments

  1. Semia sedap!! Sedih thun ni beraya sorang2 diperantauan..xboleh rentas negeri

    ReplyDelete
  2. Banyak yang kita masak dalam senarai marina nie.. memang menu wajib raya..

    ReplyDelete