MAIS Bantu Asnaf Al-Riqab Kembali Ke Jalan Benar

MAIS Bantu Asnaf Al-Riqab Kembali Ke Jalan Benar | Kecoh netizen apabila 10 golongan songsang (Gay, Gigolo, Pelacur, Homoseksual, Transeksual, Lesbian, Biseksual, Pengkid, Tomboy dan Bersekedudukan Denagn Orang Bukan Islam) diumumkan layak menerima zakat termasuklah golongan LGBT apabila berita mengenai isu ini disiarkan di televisyen pada tahun 2018 yang lalu. Ramai yang marah kerana kerajaan pada waktu itu seperti menyokong aktiviti kehidupan golongan ini. Tahukah korang bagaimana zakat itu diberikan kepada golongan ini? Marina rasa majoriti ramai yang tak tahu apa itu Al-Riqab kan? Apakah yang dimaksudkan dengan Al-Riqab? Siapakah Asnaf Al-Riqab? Bagaimanakah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) membantu golongan Asnaf Ar-Riqab ini? 

Baru-baru ni Marina dengar perkongsian dari Ustaz Muhammad Zulhusni bin Abdul Rashid dari MAIS mengenai Asnaf Al-Riqab. Marina pon baru tahu mengenai Al-Riqab ini. Jadinya Marina nak kongsikan dengan korang perkongsian dari ustaz apa itu Al-Riqab dan pendekatan dari MAIS bagi membantu golongan ini. 



Kisah Lelaki Memasang Susuk sebab Nak Cantik Kembali ke Pangkal Jalan

Seorang lelaki bujang berusia awal 30-an mempunyai kerjaya yang baik dan tiada masalah kewangan. Hidupnya cukup bertuah apabila dikurniakan ibu bapa yang sangat mengambil berat, selain penyayang.

Malangnya, dia terjebak dengan aktiviti seks songsang. Ia gara-gara tersilap memilih kawan. Bukan itu sahaja, dirinya semakin menyimpang daripada ajaran Islam apabila tekad memasang susuk bagi memastikan dirinya kelihatan cantik, selain melakukan beberapa amalan syirik lain. Kini, lelaki itu benar-benar insaf untuk kembali ke pangkal jalan.

Kes berkenaan hanya sebahagian yang dikongsikan. Setelah mendekati golongan LGBT itu, hakikatnya banyak isu yang perlu dikupas dan diambil iktibar oleh semua pihak. Sejak tahun 2012, MAIS telah melaksanakan program-program ‘temu seru’ dengan penglibatan agensi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan kerjasama ahli-ahli akademik serta agamawan dalam mendekati golongan LGBT.

Siapa Al-Riqab?

Riqab adalah seorang yang terbelenggu di bawah suatu kuasa yang menghalang kebebasan dirinya seperti contoh golongan LGBT. Selain 10 golongan seperti yang dinyatakan di atas, golongan Al-Riqab yang disenaraikan di bawah ini juga layak menerima bantuan zakat. Riqab ini termasuklah individu yang terlibat dengan masalah sosial dan akidah seperti :

Masalah sosial

#1 Terbelenggu dengan dadah
• Penagih dadah
• Bekas penagih dadah

#2 Terbelenggu dengan masalah jenayah syariah
• Minum arak
• Zina
• Judi
• Khalwat
• Buang anak
• Mengandung luar nikah
• Mempersendakan Al-Quran dan Hadis
• Sumbang mahram
• Persetubuhan haram
• Muncikari (ibu ayam)
• Menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam
• Dan lain-lain yang berkaitan Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995

#3 Terbelenggu dengan amalan salah Islam
• Tidak solat
• Tidak puasa
• Buang anak
• Usaha ingin bunuh diri
• Hidup bersama pelacur

#4 Terbelenggu dengan gaya hidup sonsang
• Pelacur
• Lesbian
• Mak Nyah (Transexual/Transgender)
• Gay
• Homoseksual
• Gigolo
• Biseksual
• Pengkid
• Tomboy
• Bersedudukan dengan orang bukan Islam

#5 Terbelenggu dengan kes juvana
• Gangster
• Jenayah melibatkan harta benda
• Pergaduhan yang melibatkan kecederaan
• Kes rompak
• Pecah rumah
• Kes rogol
• Jenayah yang melibatkan peralatan senjata yang merbahaya
• Ugutan yang melibatkan keganasan

#6 Terbelenggu dengan penyakit kronik 
• Penyakit HIV/AIDS
• Kanser/barah
• Tibi
• Hepatitis
• Dan lain-lain

Masalah Akidah

#1 Terbelenggu dengan masalah syirik dan khurafat
• Doktrin palsu
• Mengaku menjadi nabi
• Menghina Islam
• Pemujaan salah
• Mempersendakan Al-Quran dan Hadis

#2 Memurnikan akidah orang Islam yang terpesong
• Orang yang ingin/berhasrat murtad
• Orang yang dalam proses Istitabah

Apakah Syarat-syarat Penerima Bantuan Asnaf Ar-Riqab?

Kriteria penerima asnaf Al-riqab :
• Beragama Islam
• Tiada mempunyai sumber kewangan yang mencukupi
• Tidak mendapat bantuan daripada sumber-sumber lain
• Telah mendapat pengesahan pihak MAIS untuk membebaskan dirinya dari belenggu yang dihadapi
• Dengan rela hati mengikuti program pemulihan dan rawatan spiritual Islam yang dilaksanakan oleh pihak MAIS dan bersetuju menghadiri kelas-kelas bimbingan agama yang telah ditetapkan oleh pihak MAIS.

Bagaimana Bantuan Zakat Diberikan kepada Golongan Al-Riqab?

Untuk makluman korang, penerima zakat oleh golongan Ar-Riqab seperti yang diwar-warkan di dalam televisyen itu, tidak disampaikan terus kepada mereka. MAIS telah memperkasakan Bahagian Pemulihan Al-Riqab bagi melaksanakan penyerahan bantuan secara sistematik kepada asnaf al-riqab yang memenuhi syarat-syarat tersebut di atas. Bantuan zakat asnaf al-riqab ini akan disalurkan oleh pihak MAIS melalui perantara mana-mana institusi, pusat, NGO Islam dan individu perseorangan yang dibenarkan oleh undang-undang dan Hukum Syara’ yang berfungsi melaksanakan tugas-tugas membebas, mengurus, melindungi, merawat dan memulih asnaf al-Riqab supaya dapat menjalani kehidupan dengan lebih sempurna menurut Islam.

Golongan al-riqab ini juga layak mendapat manfaat wang zakat melalui program pemulihan yang dilaksanakan oleh pihak MAIS dengan dibantu oleh NGOi yang berdaftar dengan pihak MAIS bertujuan mendidik dan membimbing mereka menjadi mukmin yang diredhai Allah. Bantuan keperluan hidup juga turut diberikan kepada golongan ini. Sebagai contoh, asnaf al-riqab diberi bantuan sewa rumah agar mereka boleh berhijrah ke tempat tinggal yang lebih baik agar mereka istiqamah dengan cara hidup bersyariat. Selain itu, bantuan kewangan bulanan juga diberikan kepada individu yang menjaga mereka supaya individu tersebut dapat memanfaatkan wang tersebut bagi menggalakkan asnaf al-riqab menghadiri kelas bimbingan yang dianjurkan oleh pihak MAIS. Bantuan-bantuan lain seperti bantuan modal perniagaan dan bantuan perubatan juga diberikan kepada asnaf al-riqab untuk meringankan beban kehidupan agar mereka semakin dekat dengan Allah s.w.t.


Kaedah dan Pendekatan Pemulihan kepada Penghuni Di Rumah Pemulihan Riqab (RPR) MAIS 

Setiap penyakit pasti ada ubat dan kaedah rawatannya yang tersendiri. MAIS melalui Bahagian Pemulihan Riqab menyediakan pendekatan rawatan yang khusus bagi merawat penghuni - penghuni yang berada di Rumah Pemulihan Riqab (RPR). Terdapat 26 buah rumah-rumah pemulihan Al-Riqab yang disediakan oleh pihak MAIS. Rumah-rumah ini dikategorikan mengikut masalah yang dihadapi oleh golongan asnaf Al-Riqab ini.

Antara kaedah rawatannya yang dilaksanakan di rumah-rumah pemulihan ini:
1. Rawatan Spiritual Islam
2. Rawatan Klinikal
3. Rawatan Secara Sokongan

Semoga dengan kaedah rawatan ini menjadi salah satu ikhtiar agar dapat membantu mereka kembali pulih seperti sediakala.




Hubungi MAIS untuk Meminta Bantuan

Pada korang yang mengenali atau korang sendiri merupakan golongan Ar-Riqab dan tidak tahu hendak merujuk kepada siapa untuk meminta bantuan, korang boleh hubungi pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) iaitu di :

Bahagian Pemulihan Ar-Riqab
                             03-33614080                                
 
Website :
http://www.mais.gov.my/al-riqab/



#mais 
#menjunjungamanah
#kempenbulanpembebasanriqab
#alriqabawareness

Post a Comment

0 Comments